Wednesday, August 3, 2011

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Assalamualaikum....

Rasanya masih belum terlewat nak ucapkan Selamat Berpuasa pada seluruh umat Islam yang mana berpuasa, yang tak puasa atas sebab-sebab tertentu tu atau yang banyakkkkk sgt alasan gastrik tu...harap2 tahun ni gastrik dah tak ada.  Puasa wajib cuma setahun sekali je.....bagi la machine tu rest berkerja sebulan dlm setahun...ok tak?.

Ni kisah anak aku yang 6 tahun berpusa aka...kakak Sofea Maisarah, actually last year pun aku pernah ajar dia puasa, tapi dia tak tahan sbb perut dah masuk angin, bila time berbuka langsung tak leh masuk makanan, hatta minum air kuar balik.....kesiannya aku tengok dia melepek kat sofa.....so, aku cakap takpe la kakak tak yah lagi posa, nanti next year cuba lagi.....

So, this year pulak, 1st day bangun sahur, dia memang moody sesangat nangis je, makan pun sikit, minum pulak 1 teguk air milo, dia cakap nak posa, tak pe lah.  1st day posa sampai kol 3 je boleh tahan, 2nd day posa bangun sahur dah happy dah, aku kol 3 lagi dah bangun masak mee, sbb excited sgt nak bagi kakak belajar berpuasa.......byk jugak dia makan, then aku  buatkan milo+sustagen letak dlm botol, barulah dia minum sampai habis, kalau dlm gelas sure tak habis.

2nd day posa, sampai kol 5, cikgu nursery cal tanya boleh ke bagi dia makan sbb dia cakap dia letih, aku cakap ok la takut nanti dia sakit perut. And 3rd day sahur makan nasik siap bertambah lagi+susu milo, sebelum tu dia complaint sbb aku janji nak masakkan kuey tiew goreng utk dia.  Then petang masa aku ambik dia kat nursery terus cakap mama!!! kakak sakit tekak la, kakak haus nak minum air, beg sekolah suma dah tak larat nak bawak, so dalam keta sebelum sampai rumah, aku cakap pelan2 kat dia, "posa memangla haus, lapar, tapi kakak kena sabar, org yang sabar Tuhan akan sayang, nanti kakak boleh masuk syurga", dia terus diam sampai rumah.  So, masuk hari ke-3 barula genap sehari posa anak mama ni......harap2 lepas ni kakak dapat berpuasa hari2 sampai raya....Amin.







yang ni aku tepek ada sikit article utk dikongsi bersama......

Sunat latih kanak-kanak puasa
RAMADAN ialah sesi persekolahan dalam menghasilkan jiwa yang bertakwa. Ia juga satu kesempatan yang telah diberikan oleh Allah kepada ibu bapa dalam mendidik anak menjadi insan yang salih dan salihah. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman, selamatkanlah dirimu dan keluargamu daripada neraka, sedangkan bahan bakarnya ialah manusia dan batu. Neraka itu dijaga oleh malaikat yang kasar dan keras. Mereka sama sekali tidak pernah durhaka pada Allah dan melaksanakan apa saja yang diperintahkan pada mereka.” – Surah Al-Tahrim (66), ayat 6. Banyak amalan yang boleh dipraktikkan mengikut petunjuk Rasul dalam mendidik anak pada Ramadan. Antara yang menjadi amalan ialah dengan mendidik anak yang kecil berpuasa. Hukum berpuasa bagi kanak-kanak yang belum mumayyiz (iaitu tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk) ialah tidak sah puasanya. Manakala kanak-kanak yang sudah mumayyiz dikira sah puasa mereka apabila ia berniat puasa pada malam hari, walaupun puasa Ramadan itu tidak diwajibkan ke atasnya. Ulama sepakat mengatakan bahawa hukum berpuasa pada Ramadan adalah wajib bagi setiap orang Islam yang berakal dan baligh. Dengan demikian, kanak-kanak pada asalnya tidak wajib berpuasa kerana mereka belum baligh. (Abd Rahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘ala Mazhib al-arba’ah) Perintah tunai ibadah Ramadan sama amalan solat 

Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi SAW bermaksud: “Diangkat pena itu kerana tiga perkara: Seorang kanak-kanak kecil sehingga dia dewasa, orang yang sedang tidur sehingga terjaga dan orang gila sehingga dia normal kembali.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Makna diangkat pena itu ialah mereka tidak ditaklifkan atau dipertanggungjawabkan untuk menunaikan sebarang ibadat. Maksudnya kanak-kanak tidaklah berdosa jika mereka meninggalkan puasa Ramadan.

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, ia bukanlah satu larangan kepada ibu bapa melatih anak-anak berpuasa. Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa melatih anak-anak mengerjakan solat walaupun mereka belum mencapai usia baligh. Hadis yang bermaksud: “Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun.” (Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Sekiranya arahan Nabi SAW untuk melihat kanak-kanak terbiasa dengan amalan solat sebelum ia diwajibkan ke atas mereka, maka begitu juga dengan amalan puasa. Malah Ibn Qudamah dalam kitabnya al-Mughni jilid 3 mengatakan bahawa: “Kanak-kanak dikehendaki berpuasa apabila mencapai umur tujuh tahun jika dia secara fizikal mampu melakukannya. Sesetengah ulama berpendapat, dia hendaklah didenda secara fizikal jika tidak berpuasa ketika umurnya 10 tahun. Ia sama seperti tindakan yang diambil jika tidak bersolat.”

Kenyataan ini bersesuaian dengan amalan dalam kalangan anak-anak pada zaman Rasulullah SAW. Sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ar-Rubaiyyi’ binti Muawwiz bin Afra’ katanya: “Pada hari Asyura, Rasulullah SAW telah mengirimkan surat ke desa Ansar yang berada di sekitar Madinah dengan katanya: Sesiapa yang berpuasa pada pagi ini hendaklah menyempurnakan puasanya dan sesiapa yang telah berbuka iaitu makan pada pagi ini hendaklah dia juga menyempurnakannya iaitu berpuasa pada baki harinya. Selepas kejadian itu kami pun berpuasa serta menyuruh anak-anak kami yang masih kanak-kanak supaya ikut berpuasa, jika diizinkan Allah. Ketika kami berangkat menuju ke masjid, kami buatkan suatu permainan untuk anak-anak kami yang diperbuat daripada bulu biri-biri. Jika ada antara mereka yang menangis meminta makanan, kami akan berikan mainan berkenaan sehingga tiba waktu berbuka. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan sunat bagi ibu bapa memerintahkan anak-anak mereka berpuasa dengan tujuan melatih mereka sekiranya mereka mampu. Malah sunnahnya amalan ini disokong oleh ulama salaf seperti Imam Syafie, Ibnu Sirin dan az-Zuhri.

Imam Nawawi memperincikan hadis di atas dengan berkata: “Begitu juga keadaan kanak-kanak yang hampir mencecah usia baligh, mereka perlu diberikan pelajaran segala bentuk ketaatan secara berperingkat. Ini kerana urusan Islam juga masuk secara berperingkat. Selagi ada kemudahan bagi mereka, mereka akan melakukannya, malah menambahnya, dan selagi ada kepayahan, mereka belum mampu melakukannya, dan jika mereka menyusahkan diri juga, maka mereka mustahil melakukannya.” (Syarh Sahih Muslim 6/170)

Malah Imam Bukhari membawakan kepada kita satu athar bahawa amalan berpuasa dalam kalangan kanak-kanak sudah lama dilakukan, malah ia menjadi tradisi pada zaman sahabat. Kisahnya suatu hari Umar al-Khattab telah dihampiri oleh seorang lelaki yang mabuk di bulan Ramadan. Lalu dia berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” Lalu beliau menyebatnya dengan 80 sebatan. (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak)

Ada sebahagian ibu bapa yang menawarkan upah atau hadiah bagi anak-anak mereka yang berjaya menghabiskan puasa Ramadan. Amalan memberi upah ini bukanlah suatu yang melanggari syarak. Malah ia sesuai kepada mereka yang masih kanak-kanak.

Penulis ialah juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis musim pertama

Wednesday, July 6, 2011

Zakat Pendapatan dan Pengiraan


Zakat Pendapatan

  • Adakah zakat pendapatan diwajibkan?
    Ya, diwajibkan.
  • Apakah pengertian zakat pendapatan?
    Menurut Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr. Hussein Shahatah, zakat gaji dan pendapatan diistilahkan sebagai zakat Mal al-Mustafad iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan profesional. Ianya merupakan ganjaran perkhidmatannya dengan sesuatu majikan atau orang perseorangan atau institusi. Pendapatan tersebut merangkumi:
    • Gaji
    • Tunggakan gaji
    • Pelbagai elaun (kenderaan, makan, mesyuarat)
    • Pendapatan
    • Lain-lain (termasuk bonus atau sesuatu yang boleh dikira sebagai pendapatan seperti royalti, sewa rumah dan lain-lain)
  • Apakah dalil wajib zakat pendapatan?
    Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
    “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”
    Sabda Nabi Muhammad S.A.W. riwayat Ahmad yang bermaksud:
    “Tidak seorang pun yang bekerja untuk mendapatkan kekayaan dengan jalan haram kemudian ia membelanjakan padanya dan dengan harapan mendapat berkat daripadanya dan ia tidak bersedekah dengannya, dengan harapan ia akan diterima dan tidak pula ia tinggalkannya sebagai harta pusaka (sesudah ia meninggal) melainkan dia itu sebagai bekalannya ke neraka”
    (Riwayat Ahmad)
  • Apakah syarat wajib zakat pendapatan?
    Gaji dan pendapatan bebas wajib dikeluarkan zakat berdasarkan syarat-syarat berikut:
    • Islam
    • Merdeka
    • Pemilikan sempurna
    • Cukup nisab
    • Haul
    • Pendapatan halal
  • Berapakah kadar zakat pendapatan?
    Kadar zakat pendapatan ialah sebanyak 2.5%.
  • Apakah sandaran yang mengatakan kadar zakat pendapatan sebanyak 2.5%?
    Kadar zakat pendapatan sebanyak 2.5% adalah berpandukan kepada kadar zakat emas. Ini kerana gaji dan pendapatan bebas itu diterima dalam bentuk mata wang/nilai wang.
    Saidina Ali r.a. telah meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
    “Apabila kamu mempunyai 200 dirham dan telah cukup haul (genap setahun) diwajibkan zakatnya 5 dirham. dan tidak diwajibkan mengelurkan zakat (emas) kecuali kamu mempunyai 20 dinar (salah satu matawang zaman dahulu yang digunakan di negara Arab). Apabila kamu mempunyai 20 dinar dan telah cukup haulnya, diwajibkan zakatnya setengah dinar. Demikian juga kadarnya jika nilainya bertambah dan tidak diwajibkan zakat bagi sesuatu harta kecuali genap setahun.”
    (Riwayat Abu Daud)
  • Bilakah fatwa wajib zakat pendapatan di Selangor diwartakan?
    Ia telah diwartakan pada 9 Mei 2002 di bawah Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam 1989 yang berbunyi:
    • Zakat pendapatan hukumnya adalah wajib ke atas umat Islam.
    • Semua umat Islam yang tinggal atau bekerja di Selangor hendaklah membayar zakat pendapatan kepada Pusat (Lembaga) Zakat Selangor.
  • Adakah wajib qada zakat pendapatan sebelum tahun 2002?
    Tidak diwajibkan.
  • Bagaimanakah cara pengiraan zakat pendapatan ?
    Terdapat tiga garis panduan mengira zakat pendapatan sama ada:
    • 2.5% atas jumlah pendapatan kasar setahun (jika pendapatan tersebut melebihi nisab) atau
    • Membayar zakat setelah menolak perbelanjaan asas yang dibenarkan (berdasarkan kaedah penolakan yang dibenarkan) atau
    • Membayar zakat setelah mengambil kira tanggungan sebenar.
  • Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber haram? Apakah kategori sumber haram tersebut?
    Tidak wajib zakat kerana tidak memenuhi syarat wajib zakat. Menurut ulama, harta yang di perolehi dari sumber yang haram adalah haram. Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:
    “Allah tidak menerima sebarang sedekah dari sumber yang haram.”
    (Riwayat Imam Muslim)
  • Bolehkah zakat dibayar jika sumber pendapatan wang tersebut adalah dari sumber yang syubhah?
    Tidak wajib zakat kerana ia termasuk sumber haram.
  • Adakah pendapatan daripada nyanyian dan lakonan dikenakan zakat?
    Sekiranya nyanyian dan lakonan sesuai dengan hukum syarak, maka wajib dikeluarkan zakat.
  • Mengapakah keperluan asas seperti rumah, kereta, bil-bil dan tanggungan lain tidak diambil kira dalam taksiran zakat pendapatan?
    Sekiranya pengiraan zakat pendapatan akan mengikut haddul kifayah baru, maka keperluan-keperluan asas telah diambil kira.
  • Saya akan melanjutkan pelajaran ke luar negara dan mendapat gaji penuh. Persoalannya, adakah saya perlu membayar zakat pendapatan untuk gaji tersebut? Bagaimana dengan elaun pengajian yang diterima di luar negara?
    Elaun dan gaji akan dikira seperti zakat pendapatan dan dikenakan zakat.
  • Saya memiliki beberapa rumah sewa di sekitar Shah Alam. Adakah saya wajib mengeluarkan zakat hasil daripada kutipan sewaan, sedangkan pada masa yang sama saya juga perlu membayar hutang rumah kepada bank semasa pembelian rumah tersebut?
    Hanya lebihan daripada baki sewa akan dimasukkan dalam kiraan pendapatan lain. Contohnya:
    Contoh Pengiraan:
    Kutipan sewa rumah sebulan: RM 1,000
    Bayaran ansuran bank sebulan: RM 800
    Baki daripada sewaan: RM 200
    Hanya nilai dari baki sewaan iaitu RM 200 sahaja yang perlu dimasukkan di dalam pengiraan zakat pendapatan.
  • Adakah perbelanjaan untuk perkahwinan boleh dikira sebagai penolakan di dalam pengiraan zakat pendapatan?
    Boleh untuk tahun semasa
  • Adakah bayaran bulanan (nafkah) saya kepada bekas isteri saya sebanyak RM700 sebulan (RM8,400 setahun) boleh diambil kira sebagai tolakan dalam kiraan zakat pendapatan?
    Untuk isteri dibolehkan mengikut tempoh edah tetapi untuk anak-anak mengikut haddul kifayah.
  • Jika saya dan isteri kedua-duanya menanggung anak-anak bagaimana cara penolakan untuk perbelanjaan mereka? Bolehkah dibahagikan kepada dua?
    Boleh dibahagikan sama rata mengikut haddul kifayah.
  • Saya merasakan penolakan untuk diri, isteri dan anak-anak adalah terlalu sedikit berbanding dengan perbelanjaan sebenar, memandangkan semua harga keperluan harian meningkat. Adakah kadar penolakan tersebut boleh ditambah mengikut keperluan sebenar?
    Boleh ditambah mengikut perbelanjaan sebenar.
  • Apakah sandaran yang dibuat oleh LZS yang menjadikan jumlah penolakan isteri, anak-anak dan diri di perolehi dengan jumlah RM 3,000, RM 1,000 dan RM 8,000? Adakah sebarang kajian telah dibuat? Atau sekadar mengikut LHDN?
    Ianya adalah merujuk kepada Haddul Kifayah semasa.
  • Saya tidak pernah membayar zakat pendapatan sejak mula bekerja pada tahun 1999, dan saya juga sudah tidak ingat mengenai gaji dan perbelanjaan saya, oleh itu bagaimana untuk saya membayar zakat?
    Tidak diwajibkan.
  • Sekiranya saya membayar SOCSO, adakah ia termasuk dalam kategori “perbelanjaan yang di benarkan untuk di tolak”, memandangkan hanya KWSP sahaja yang di benarkan untuk di tolak?
    Boleh ditolak
  • Kenapa ada perbezaan di setiap negeri di dalam menentukan zakat pendapatan itu wajib atau tidak?
    Di peringkat kebangsaan, zakat pendapatan telah diputuskan sebagai suatu kewajipan tetapi perlaksanaannya berbeza mengikut pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri.
  • Apakah perbezaan di antara zakat pendapatan dan zakat wang simpanan?
    Zakat pendapatan dilihat puncanya dari gaji, elaun, bonus, pendapatan sampingan dan hasil-hasil lain yang boleh diertikan sebagai pendapatan. Adapun zakat wang simpanan dilihat puncanya dari wang yang disimpan sahaja.
    Zakat wang simpanan dikenakan pada jumlah terendah yang mencecah nisab semasa, sementara zakat pendapatan dikenakan kepada jumlah yang berbaki selepas dibuat penolakan terhadap perbelanjaan asasi.
  • Adakah wajib bagi seseorang itu mengeluarkan zakat hasil dari kutipan sewaan rumah yang dimilikinya?
    Zakat wajib dikeluarkan setelah memenuhi syarat zakat pendapatan.
  • Bolehkah saya membayar zakat pendapatan secara ansuran dan melebihi dari tempoh satu tahun?
    Harus membayar zakat secara beransur dalam masa satu haul. Jika melebihi haul ia dianggap qada’.
  • Saya wajib membayar zakat pendapatan tetapi pada akhir tahun wang telah habis digunakan. Adakah saya masih wajib membayar zakat pendapatan?
    Wajib dibayar zakat tersebut secara ansuran sehingga habis haul.
  • Bagaimanakah untuk mengira zakat bagi wang pencen yang diterima setiap bulan?
    Mengikut kaedah zakat pendapatan.
  • Adakah zakat yang dikeluarkan daripada KWSP dibayar menggunakan wang KWSP atau sumber wang lain?
    Zakat tersebut boleh dibayar menggunakan daripada mana-mana sumber wang yang halal.


Syarat-syarat dan Pengiraan Zakat Emas dan Perak


Yang ni aku ambik dari Lembaga Zakat Selangor.

Just for Sharing........manalah tahu sapa2 kat sini yang ada terlebih emas, kenalah bayar zakat.....


Zakat Emas Dan Perak

  • Adakah perhiasan emas dan perak dikenakan zakat?
    Emas dan perak wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Bagi perak ia termasuk perhiasan atau barangan yang disimpan. Ia dikira mengikut harga 1 gram perak semasa. Ini adalah berdasarkan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
    “…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya (zakat) pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
    (Surah al-Taubah: ayat 34-35)
    Begitu juga dengan Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada Muslim yang bermaksud:
    “Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.”
    (Riwayat Muslim)
  • Adakah emas yang disimpan dan dipakai, diwajibkan zakat?
    Emas yang disimpan dan dipakai wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak digunakan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram. Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada nilai emas semasa sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya.
    Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi ‘uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas nilai emas yang dipakai. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
  • Adakah emas perhiasan yang dipakai tidak dikenakan zakat?
    Ya, barang kemas yang dipakai tidak dikenakan zakat selagi ianya tidak melebihi had pemakaian yang dibenarkan. Di Selangor, zakat akan dikenakan sekiranya barang kemas yang dipakai itu melebihi 800 gram.
  • Berapakah nisab zakat emas dan berapakah kadar yang dikenakan zakat?
    Nisab zakat emas ialah 85 gram. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, wajib dikenakan zakat. Kadar zakat emas ialah rubu’ al-’usyur iaitu satu perempat puluh atau dua setengah peratus (1/40 atau 2.5%)
  • Bagaimanakah untuk mengira zakat, jika emas bertatah batu-batu permata atau berlian?
    Sekiranya batu kecil, ia akan ditolak dengan anggaran sebanyak 0.02 gram per batu manakala bagi batu besar akan ditolak 0.5 gram per batu. Setelah ditolak jumlah berat batu, maka barulah dikira berat emas tersebut.
  • Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?
    Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.
  • Saya memiliki beberapa utas rantai emas tetapi saya gadaikan untuk membuat modal perniagaan. Adakah wajib membayar zakat bagi rantai emas yang digadaikan itu?
    Tidak wajib dizakatkan kecuali setelah ditebus semula. Kiraan haul bermula pada hari ditebus.
  • Berapakah nisab zakat perak?
    Nisab zakat perak sebanyak 200 dirham iaitu sama atau melebihi 595 gram
  • Apakah dalil zakat perak?
    Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
    “…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, antaranya membayar zakat maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
    (Surah al-Taubah: ayat 34-35)
  • Bagaimanakah cara pengiraan zakat emas dan perak?
    • Kaedah pengiraan zakat emas perhiasan (emas yang dipakai)Zakat emas perhiasan hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan emas yang dipakai adalah sama atau melebihi uruf (800 gram). Kaedah pengiraannya ialah:
      [Timbangan emas (gram)] x [harga emas semasa/gram] x 2.5%
      Contoh:
      Berat emas yang dimiliki : 950 gram
      Harga emas semasa/gram : RM 50
      Kadar zakat : (timbangan emas) x (harga/gram) x 2.5%
      : 950 x 50 x 2.5% = RM 1,187.50
    • Kaedah pengiraan zakat emas yang disimpanZakat emas yang disimpan hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan emas yang disimpan adalah sama atau melebihi uruf (85 gram). Kaedah pengiraannya ialah:
      [Timbangan emas (gram)] x [harga emas semasa/gram] x 2.5%
    • Kaedah pengiraan zakat perakBagi logam perak (sama ada yang dipakai atau disimpan), zakat hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan perak adalah sama atau melebihi uruf (595 gram). Kaedah pengiraannya ialah:
      [Timbangan perak (gram)] x [harga perak semasa/gram] x 2.5%
  • Semasa ibu saya meninggal, beliau ada meninggalkan emas perhiasan pada saya. Saya layak untuk membayar zakat tetapi tidak mampu untuk membayarnya? Adakah saya perlu menggadai separuh dari barang kemas itu untuk membayar zakat?
    Ya, zakat harus dibayar sama ada menggunakan wang sendiri atau menggunakan wang setelah digadai emas tersebut.
  • Adakah emas yang disimpan di dalam bank perlu dizakatkan?
    Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.
  • Ibu saya mempunyai emas yang sudah cukup syarat untuk dizakatkan. Tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat mengeluarkan zakat. Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Daripada sumber mana yang perlu digunakan untuk membayar zakat tersebut?
    Waris perlulah melunaskan bayaran zakat tersebut dengan menggunakan duit si mati sebelum harta peninggalannya difaraidkan.
  • Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?
    Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.
  • Sekiranya saya telah menggadaikan sejumlah emas perhiasan ke dalam skim Al-Rahn, perlukah saya membayar zakat untuk emas yang digadaikan itu?
    Tidak wajib, kerana tidak sempurna milik.
  • Adakah perlu dizakatkan bagi emas dan perak yang didapati daripada perlombongan?
    Emas dan perak yang diperolehi daripada perlombongan yang cukup nisab wajib dikeluarkan zakat serta-merta tanpa menunggu haul (setahun hijri). Kadar zakatnya ialah dua puluh peratus atau satu perlima (20% atau 1/5).
  • Adakah perlu dizakatkan bagi emas dan perak yang dijumpai dalam tanah, pasir atau air yang tidak menggunakan cara melombong?
    Wajib dikeluarkan zakat serta-merta tanpa menunggu haul (setahun hijri). Ia perlu dikeluarkan 20 peratus daripada jumlah yang dijumpai.
  • Adakah perlu dizakatkan bagi emas atau perak yang dijadikan jongkong emas atau yang dibuat pinggan mangkuk, piala, pingat, cenderamata dan lain-lain?
    Bijih emas atau bijih perak atau emas atau perak yang telah dilebur dan dijadikan jongkong-jongkong emas atau perak atau yang telah dijadikan perhiasan atau perkakas rumah seperti pinggan mangkuk, sudu dan lain-lain adalah wajib zakat pada tiap-tiap tahun jika cukup syarat.
  • Adakah perhiasan emas dan perak yang dipakai oleh lelaki diwajibkan zakat seperti jam yang disalut emas atau perak?
    Wajib orang lelaki yang memakai itu mengeluarkan zakat jika mencukupi syarat. Haram bagi lelaki memakai perhiasan emas.
  • Adakah emas putih wajib dizakatkan?
    Ya, emas putih seperti emas kuning wajib dizakatkan jika sampai atau melebihi 85 gram.
  • Adakah emas paun (75 karat) wajib dizakatkan?
    Ia wajib dikenakan zakat sekiranya cukup syarat.
  • Saya ada emas yang dipakai. Ia tidak cukup untuk dikeluarkan zakat. Tetapi jika dicampurkan dengan emas yang digadai, cukup untuk bayar zakat. Persoalannya, wajibkah saya membayar zakat?
    Tidak wajib dikenakan zakat kerana tidak cukup nisab dan emas yang digadai tidak sempurna milik.
  • Bolehkah saya menggunakan timbang tepung untuk menimbang emas kerana takut hendak bawa emas ke kaunter LZS?
    Boleh sekiranya standard itu sama seperti penimbang emas.
  • Perlukah gigi emas dizakatkan?
    Tidak wajib dikenakan zakat.
  • Apakah sandaran kadar uruf emas di Selangor yang digunakan pada masa ini?
    Sandaran berdasarkan kepada kajian pengguna-pengguna emas di Selangor. Keputusannya telah diputuskan oleh Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Selangor setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang diwartakan pada 23 Jun 2005.