Wednesday, July 6, 2011

Syarat-syarat dan Pengiraan Zakat Emas dan Perak


Yang ni aku ambik dari Lembaga Zakat Selangor.

Just for Sharing........manalah tahu sapa2 kat sini yang ada terlebih emas, kenalah bayar zakat.....


Zakat Emas Dan Perak

  • Adakah perhiasan emas dan perak dikenakan zakat?
    Emas dan perak wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Bagi perak ia termasuk perhiasan atau barangan yang disimpan. Ia dikira mengikut harga 1 gram perak semasa. Ini adalah berdasarkan Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
    “…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya (zakat) pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
    (Surah al-Taubah: ayat 34-35)
    Begitu juga dengan Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada Muslim yang bermaksud:
    “Tidak ada seorang yang mempunyai emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, melainkan pada hari kiamat dijadikan hartanya itu beberapa keping api neraka. Setelah dipanaskan, digosokkan ke lambung, dahi dan belakangnya, setiap kali ia sejuk dipanaskan semula, pada satu hari yang lamanya 50 ribu tahun sehingga Allah menyelesaikan segala perkara yang berkaitan dengan hambaNya.”
    (Riwayat Muslim)
  • Adakah emas yang disimpan dan dipakai, diwajibkan zakat?
    Emas yang disimpan dan dipakai wajib dizakatkan sekiranya cukup syarat. Emas yang disimpan bermaksud emas yang tidak digunakan atau tidak dipakai walaupun sekali dalam tempoh setahun. Nisab emas yang tidak dipakai ialah sebanyak 85 gram. Ia dikenakan zakat sebanyak 2.5% daripada nilai emas semasa sekiranya kadar yang dimiliki itu sama atau melebihi nisabnya.
    Emas yang dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau secara berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya. Walau bagaimanapun jika ia melebihi ‘uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas nilai emas yang dipakai. Kadar uruf emas di negeri Selangor ialah sebanyak 800 gram. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya.
  • Adakah emas perhiasan yang dipakai tidak dikenakan zakat?
    Ya, barang kemas yang dipakai tidak dikenakan zakat selagi ianya tidak melebihi had pemakaian yang dibenarkan. Di Selangor, zakat akan dikenakan sekiranya barang kemas yang dipakai itu melebihi 800 gram.
  • Berapakah nisab zakat emas dan berapakah kadar yang dikenakan zakat?
    Nisab zakat emas ialah 85 gram. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa emas apabila cukup 20 misqal, wajib dikenakan zakat. Kadar zakat emas ialah rubu’ al-’usyur iaitu satu perempat puluh atau dua setengah peratus (1/40 atau 2.5%)
  • Bagaimanakah untuk mengira zakat, jika emas bertatah batu-batu permata atau berlian?
    Sekiranya batu kecil, ia akan ditolak dengan anggaran sebanyak 0.02 gram per batu manakala bagi batu besar akan ditolak 0.5 gram per batu. Setelah ditolak jumlah berat batu, maka barulah dikira berat emas tersebut.
  • Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?
    Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.
  • Saya memiliki beberapa utas rantai emas tetapi saya gadaikan untuk membuat modal perniagaan. Adakah wajib membayar zakat bagi rantai emas yang digadaikan itu?
    Tidak wajib dizakatkan kecuali setelah ditebus semula. Kiraan haul bermula pada hari ditebus.
  • Berapakah nisab zakat perak?
    Nisab zakat perak sebanyak 200 dirham iaitu sama atau melebihi 595 gram
  • Apakah dalil zakat perak?
    Firman Allah S.W.T yang bermaksud:
    “…dan (ingatlah) orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, antaranya membayar zakat maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
    (Surah al-Taubah: ayat 34-35)
  • Bagaimanakah cara pengiraan zakat emas dan perak?
    • Kaedah pengiraan zakat emas perhiasan (emas yang dipakai)Zakat emas perhiasan hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan emas yang dipakai adalah sama atau melebihi uruf (800 gram). Kaedah pengiraannya ialah:
      [Timbangan emas (gram)] x [harga emas semasa/gram] x 2.5%
      Contoh:
      Berat emas yang dimiliki : 950 gram
      Harga emas semasa/gram : RM 50
      Kadar zakat : (timbangan emas) x (harga/gram) x 2.5%
      : 950 x 50 x 2.5% = RM 1,187.50
    • Kaedah pengiraan zakat emas yang disimpanZakat emas yang disimpan hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan emas yang disimpan adalah sama atau melebihi uruf (85 gram). Kaedah pengiraannya ialah:
      [Timbangan emas (gram)] x [harga emas semasa/gram] x 2.5%
    • Kaedah pengiraan zakat perakBagi logam perak (sama ada yang dipakai atau disimpan), zakat hanya wajib dikenakan sekiranya timbangan perak adalah sama atau melebihi uruf (595 gram). Kaedah pengiraannya ialah:
      [Timbangan perak (gram)] x [harga perak semasa/gram] x 2.5%
  • Semasa ibu saya meninggal, beliau ada meninggalkan emas perhiasan pada saya. Saya layak untuk membayar zakat tetapi tidak mampu untuk membayarnya? Adakah saya perlu menggadai separuh dari barang kemas itu untuk membayar zakat?
    Ya, zakat harus dibayar sama ada menggunakan wang sendiri atau menggunakan wang setelah digadai emas tersebut.
  • Adakah emas yang disimpan di dalam bank perlu dizakatkan?
    Ya, wajib dizakatkan dan dikira sebagai emas yang disimpan.
  • Ibu saya mempunyai emas yang sudah cukup syarat untuk dizakatkan. Tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat mengeluarkan zakat. Siapakah yang bertanggungjawab membayar zakat tersebut? Daripada sumber mana yang perlu digunakan untuk membayar zakat tersebut?
    Waris perlulah melunaskan bayaran zakat tersebut dengan menggunakan duit si mati sebelum harta peninggalannya difaraidkan.
  • Adakah saya wajib membayar zakat emas perhiasan yang telah disimpan dan diwarisi daripada nenek?
    Ya, emas perhiasan yang disimpan dan diwarisi wajib dikeluarkan zakat sekiranya cukup syarat.
  • Sekiranya saya telah menggadaikan sejumlah emas perhiasan ke dalam skim Al-Rahn, perlukah saya membayar zakat untuk emas yang digadaikan itu?
    Tidak wajib, kerana tidak sempurna milik.
  • Adakah perlu dizakatkan bagi emas dan perak yang didapati daripada perlombongan?
    Emas dan perak yang diperolehi daripada perlombongan yang cukup nisab wajib dikeluarkan zakat serta-merta tanpa menunggu haul (setahun hijri). Kadar zakatnya ialah dua puluh peratus atau satu perlima (20% atau 1/5).
  • Adakah perlu dizakatkan bagi emas dan perak yang dijumpai dalam tanah, pasir atau air yang tidak menggunakan cara melombong?
    Wajib dikeluarkan zakat serta-merta tanpa menunggu haul (setahun hijri). Ia perlu dikeluarkan 20 peratus daripada jumlah yang dijumpai.
  • Adakah perlu dizakatkan bagi emas atau perak yang dijadikan jongkong emas atau yang dibuat pinggan mangkuk, piala, pingat, cenderamata dan lain-lain?
    Bijih emas atau bijih perak atau emas atau perak yang telah dilebur dan dijadikan jongkong-jongkong emas atau perak atau yang telah dijadikan perhiasan atau perkakas rumah seperti pinggan mangkuk, sudu dan lain-lain adalah wajib zakat pada tiap-tiap tahun jika cukup syarat.
  • Adakah perhiasan emas dan perak yang dipakai oleh lelaki diwajibkan zakat seperti jam yang disalut emas atau perak?
    Wajib orang lelaki yang memakai itu mengeluarkan zakat jika mencukupi syarat. Haram bagi lelaki memakai perhiasan emas.
  • Adakah emas putih wajib dizakatkan?
    Ya, emas putih seperti emas kuning wajib dizakatkan jika sampai atau melebihi 85 gram.
  • Adakah emas paun (75 karat) wajib dizakatkan?
    Ia wajib dikenakan zakat sekiranya cukup syarat.
  • Saya ada emas yang dipakai. Ia tidak cukup untuk dikeluarkan zakat. Tetapi jika dicampurkan dengan emas yang digadai, cukup untuk bayar zakat. Persoalannya, wajibkah saya membayar zakat?
    Tidak wajib dikenakan zakat kerana tidak cukup nisab dan emas yang digadai tidak sempurna milik.
  • Bolehkah saya menggunakan timbang tepung untuk menimbang emas kerana takut hendak bawa emas ke kaunter LZS?
    Boleh sekiranya standard itu sama seperti penimbang emas.
  • Perlukah gigi emas dizakatkan?
    Tidak wajib dikenakan zakat.
  • Apakah sandaran kadar uruf emas di Selangor yang digunakan pada masa ini?
    Sandaran berdasarkan kepada kajian pengguna-pengguna emas di Selangor. Keputusannya telah diputuskan oleh Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Selangor setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang diwartakan pada 23 Jun 2005.

No comments:

Post a Comment